UCAPAN PERASMIAN MESYUARAT PERWAKILAN UMNO BAHAGIAN KOTA RAJA 2005
- Ucapan Ketua UMNO Bahagian Kota Raja YB Datuk Amzah Hj Umar di Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kota Raja 2005. Tarikh : 15 Mei 2005
Saya mengucapkan syukur kehadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan izin Nya dapat saya berhadapan dengan saudara saudari sekelian di majlis yang berbahagia ini untuk menyampaikan ucapan sebagai Ketua Bahagian. Inilah kali pertama saya menunaikan kewajipan ini sebagai ketua bahagian setelah saya diberi kepercayaan untuk memimpin bahagian ini oleh mesyuarat perwakilan tahun lalu.
Saya bagi pihak parti dan Jawatankuasa UMNO Bahagian mengucapkan selamat datang kepada ketua-ketua dan wakil-wakil parti komponen Barisan Nasional, para tetamu, para perwakilan dan pemerhati sekelian yang hadir di persidangan yang mulia ini. Semoga mesyuarat perwakilan kita pada hari ini mendapat restu dan petunjuk Allah SWT.
Sebenarnya kita bersidang pada hari ini hanya baru lebih kurang dua tahun sahaja bahagian ini diwujudkan. Tetapi dari segi perjuangannya, dari segi semangatnya, dari segi keahliannya adalah ahli-ahli UMNO yang telah lama berjuang dalam bahagian Shah Alam dahulu. Syabas dan tahniah saya ucapkan kerana saudara-saudari telah menunjukkan dan membuktikan komitmen yang tinggi dan kesetiaan terhadap perjuangan UMNO yang sama-sama kita menggerakkannya.
Sebagaimana kita sedia maklum, bahawa mesyuarat perwakilan adalah satu peristiwa yang amat penting. Selain daripada kepentingannya kepada ahli-ahli parti, ada juga peminat-peminat politik dan rakyat di bahagian ini yang memberi tumpuan perhatian kepada mesyuarat kita pada hari ini. Perjuangan parti kita UMNO membawa kesan yang mendalam yang melibat dan menarik perhatian semua pihak.
Mesyuarat perwakilan tahun lalu 2004 begitu menarik perhatian sekali, kerana ia menandakan detik perubahan pucuk pimpinan di dalam UMNO iaitu bahagian baru yang diberi nama Kota Raja. Satu bahagian yang dilahirkan oleh bahagian Shah Alam hasil daripada persempadanan semula parlimen oleh Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia
Hari ini, kami berdiri di hadapan saudara-saudari sekelian dengan beban amanah yang telah diserahkan kepada kami. Tentulah kali ini yang menjadi tanda tanya masing-masing prestasi kepimpinan yang telah diberi kepercayaan setahun lalu itu.
Ketika itu, setelah pemilihan pucuk pimpinan parti berlaku dengan licin. Alhamdulillah semuanya telah berjalan dengan lancar tahun lalu, dengan penentuan telahpun dibuat oleh perwakilan masing-masing. Kepada saudara Abd Rauf Mokhtar telah memenangi jawatan Ketua Pemuda, Puan Nahar Ahmad telah memenangi jawatan Ketua Wanita, Puan Suhaila binti Dato’ Zin telah memenangi jawatan Ketua Puteri dan Tuan Haji Kamaruzzaman Johari telah memenangi Timbalan Ketua Bahagian. Saya bagi pihak parti mengucapkan syabas dan setinggi tahniah.
Kepada yang berjaya dan juga yang tewas, ingatlah bahawa yang menang dan tewas itu ialah persepsi dari sudut individu, tetapi dari sudut perjuangan parti tidak ada yang tewas. Yang tewas juga menang kerana perjuangan kita ialah perjuangan yang satu, iaitu perjuangan untuk mengukuhkan UMNO Kota Raja supaya kita dapat menunaikan peranan yang memelihara dan mendokong kepentingan bangsa, agama dan negara.
Tidak sekali-kali kita lupa bahawa tujuan pertandingan dan amalan demokrasi adalah proses untuk mengukuhkan parti bukan pertandingan untuk mencari juara. Setiap ahli UMNO yang mendukung cita-cita dan perjuangan parti serta prinsip-prinsip demokrasi kita, tidak kira jawatannya adalah juara.
Saudara-saudari yang saya hormati
Semangat perjuangan yang ditunjukkan oleh saudara-saudari adalah untuk kepentingan bangsa, agama dan negara. Sokongan yang diberikan kepada saya amatlah saya hargai, saya dengan kemuafakatan dan kerjasama kita, maka mesyuarat pada hari ini akan dapat menghasilkan sesuatu yang baik untuk perjuangan parti. Setelah mesyuarat perwakilan tahun lalu berjalan dengan baik, kita telah berjaya menggembelingkan tenaga untuk menggerakkan serta melancarkan perjuangan kita. Pelbagai isu yang telah kita bincangkan pada tahun lepas dan ada di antara apa yang kita sama-sama putuskan telahpun berjalan dengan memuaskan, walaupun masih ada yang belum kita laksanakan sepenuhnya di atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.
Pendekatan UMNO Kota Raja untuk menjadi sebuah pertubuhan yang mesra rakyat menunjukkan kemajuan dan mendapat sambutan yang baik. Ini dapat dibuktikan beberapa masalah yang tertangguh yang di ketengahkan melalui bahagian atau pejabat Perkhidmatan Wakil Rakyat telah dapat diatasi dan diselesaikan dengan saksama. Tidak ada sesiapapun yang boleh menafikan usaha dan kejayaan semua pemimpin-pemimpin UMNO Kota Raja yang menyokong bagi membangunkan perjuangan orang-orang Melayu di dalam bahagian ini, sedikit sebanyak telah berjaya.
Beberapa perancangan telah disusun dan sebagai satu garis panduan untuk di perjuangkan bagi kepentingan orang-orang Melayu di dalam UMNO Kota Raja, adalah seperti berikut; - menekankan pembangunan seimbang di antara kawasan di sekitar kawasan Parlimen Kota Raja
- meningkatkan kefahaman dan penghayatan agama Islam dan memperkembangkan gagasan Islam hadhari dan konsep Towering Personaliti
- meningkatkan majlis ilmu dan penggunaan teknologi melalui biro Umno
- bekerjasama dengan PBT bagi mempertingkatkan penjagaan alam sekitar
- mempertingkatkan usaha dan tindakan bagi membenteras gejala sosial
- meningkatkan pembinaan rumah-rumah kos rendah dan sederhana untuk golongan berpendapatan rendah
- meningkatkan pembinaan dan menggalakkan pertumbuhan industri kecil dan sederhana
- memodenkan sektor pertanian untuk meningkatkan pengeluaran bahan makanan.
Lantaran itu, perancangan yang telah disusun seperti di atas akan menjadi faktor aktif dalam tugas ahli-ahli parti menyebarkan maklumat memantau perkembangan pembangunan, bekerjasama dengan pihak berkuasa, menyalurkan maklumat berasas supaya tindakan yang sewajarnya boleh disusuli memberi idea untuk memperbaiki usaha semasa dan banyak lagi peranan yang boleh merealisasikan senergi atau perpaduan yang mantap di antara ahli-ahli parti dengan pihak pentadbir.
Saudara-saudari sekelian
Sejak di tubuhkan bermula dari UMNO Bahagian Klang, Kapar dan Shah Alam dan sekarang bahagian Kota Raja, boleh dikatakan semua pemimpin dahulu masing-masing dengan cita-cita dan impian murni mereka untuk memaju dan menaikan maruah bangsa serta ingin mengikis stigma masa lampau terutama sekali tentang pembahagian kerusi wakil rakyat. Hal-hal yang ada kaitan kemiskinan dan kelemahan yang lain. Pemimpin parti dan kerajaan sentiasa mengambil maklum di atas cadangan-cadangan yang diperjuangkan oleh UMNO Kota Raja dan terakhir ini pula, pemimpin parti telah mencetuskan dua gagasan baru iaitu Islam Hadhari dan Towering Personaliti iaitu personality yang tinggi hemahnya, tinggi budinya, tinggi pengajiannya, tinggi kejayaannya dalam apa juga bidang yang di ceburi, hatta menjadi seorang yang cemerlang, gemilang dan terbilang
Perjuangan kita menuntut supaya peningkatan ekonomi, sosial dan pendidikan orang Melayu sebagai satu agenda perjuangan parti adalah untuk menebus maruah bangsa di bahagian Kota Raja, tidak ada bangsa yang tidak merasa terhina jika tuntutan mereka gagal.
Hari ini hampir 25 tahun sejak mula kita berada di bahagian Shah Alam dahulu, kita masih lagi gagal berjuang untuk melaksanakan perjuangan kita dengan tuntutan yang kita fikir adil. Kegagalan kita mempunyai sebab, mungkin kita malas dan tidak berusaha, mungkin kita tidak fokus perjuangan kita, mungkin kita tidak faham apa yang kita perjuangkan dan oleh kita jahil dari segi perjuangan kita sendiri.
Oleh itu, setelah kita berjuang sekian lama, maka kita mesti sedar bahawa dengan masa yang berlalu dan perubahan yang berlaku di sekitar kita, kita mesti berubah. Kita harus melihat perspektif bagaimana bahagian ini di wujudkan, kejayaan dan pencapaian serta kelemahan dan kegagalan kita dari sudut pengkritik diri yang jujur dan dewasa.
Umno Kota Raja hanya baru satu tahun 8 bulan ditubuhkan. Kita tidak boleh leka dan bersenang-senang. Insaflah bahawa perjuangan kita untuk mengisi perjuangan orang Melayu masih lagi di peringkat permulaan. Kita perlu usaha berlipat ganda bagi membawa orang Melayu Kota Raja menjamin kesejahteraan dan kebahagiaan lebih-lebih lagi kepada generasi muda yang akan datang.
Saudara-saudari yang saya hormati sekelian
Asas untuk mencapai supaya perjuangan kita berhasil dan berjaya ialah kuncinya perpaduan. Mencipta sejarah dalam perpaduan amatlah penting bagi kita semua. Anasir-anasir yang ingin memecah belahkan perpaduan kita, hendaklah ditentang dengan sekeras-kerasnya. Kita tidak mahu pemimpin yang tidak ikhlas, tidak jujur dan tidak amanah dalam jemaah saf kepimpinan kita. Oleh itu marilah kita berikrar dan bersatu hati untuk menolak mereka ini
Perjuangan untuk menjayakan program bahagian, negeri dan nasional terutamanya di bidang pendidikan Islam hadhari dan juga kursus-kursus mengenai towering personalti, Selangor Negeri Maju, dasar awam yang difikirkan ada kaitan dengan parti dan rakyat akan dilaksanakan dari semasa ke semasa melalui kerjasama UMNO dan juga agensi awam yang lain. Semua program dan aktiviti ini akan dapat diatur dan dicapai kerana adanya perpaduan dalam parti dan kalangan rakyat yang telah berjaya mewujudkan kestabilan politik. Kesedaran kita semua mengenai dasar politik, ekonomi sosial dan pendidikan sangat membanggakan dan ianya perlu diperkukuhkan lagi jika kita mahu melihat UMNO Bahagian Kota Raja berupaya bersaing dengan bahagian-bahagian lain yang telah lebih maju dari kita.
UMNO merupakan sebuah parti politik yang begitu penting dalam mewarnakan dan mencorakkan sistem politik, ekonomi, sosial orang Melayu di Malaysia dari zaman penjajahan membawa zaman kemerdekaan dan seterusnya mengharungi zaman moden untuk menaikan survival orang Melayu. UMNO menjadi sebuah parti yang menjadi perlindung yang berjuang dan mendukung cita-cita kebangsaan Melayu demi mengekalkan maruah dan martabat bangsa, agama dan negara.
Saudara-saudari yang saya hormati sekelian
Masa depan UMNO Kota Raja ternampak cerah, impian untuk meningkatkan lagi prestasi politik, ekonomi dan sosial orang Melayu dibahagian ini insyaallah akan menjadi kenyataan. Usaha kita untuk bekerja menjayakan dasar-dasar kerajaan bagi menghapuskan kemiskinan, setinggan sifar, selangor negeri maju dan beberapa wawasan negeri dan negara pasti akan berhasil, kerana kita berharap setakat ini tidak ada banyak gangguan politik dari parti lawan. Inilah harapan kita selepas kemenangan besar dalam pilihanraya 2004
Sesetengah pihak kemenangan sesuatu pilihanraya ataupun pilihan parti kerana sudah sampai kepuncak. Dari puncak tidak ada apa-apa lagi di daki dan dinaiki. Tetapi sebenarnya kita sebelum sampai ke puncak, kita boleh mendaki bersama tempat yang lebih tinggi, jika kita tidak gugurkan sifat dan budaya yang telah membawa kita ketahap ini di dalam perjuangan kita.
Puncak biasanya tidak luas. Tidak ramai yang boleh berada di pucak seperti mana yang ramai terdapat dibahagian bawah dan di dataran. Oleh itu, jika ada pergelutan di puncak tentu akan ada yang jatuh ke bawah. Tetapi mungkin semua akan jatuh kerana pergelutan di puncak.
Dalam perjuangan manusia, puncak tidak di tetapkan. Ia boleh ditentukan oleh pejuang itu sendiri. Dengan itu ada kumpulan yang naik tidak begitu tinggi dan samailah mereka ke puncak gunung perjuangan mereka, kemudian mereka tidak boleh naik lagi.
Ada kumpulan yang tidak mampu mendaki gunung perjuangan sama sekali. Bahkan tidak mempunyai niat atau cita-cita untuk mendaki kemana-mana dan oleh itu terus tinggal di bawah di dalam lembah.
Tetapi ada kumpulan yang bergerak sebagai satu pasukan menyusun langkah secara teratur dan tertib mempunyai ketua yang mendahului pasukan yang merintis, menebas dan menebang jalan yang selamat untuk di jejak ahli-ahli kumpulannya. Tidak lupa akan mereka yang dibelakang dan dibawah serta bergerak berhati-hati secara terancang. Kumpulan yang tertib ini akan pasti akan dapat sampai ke puncak perjuangan yang lebih tinggi
Kumpulan yang tertib dan berpasukan yang kukuh ini kumpulan yang tidak berebut-rebut ketika mendaki dan semasa berada di puncak. Kumpulan yang mulia budayanya akan menjadi kumpulan yang berhemah tinggi, dihormati dan di segani.
Saudara-saudari yang saya hormati sekelian
Bagi kebanyakan yang betul-betul berjaya mendaki ke puncak tidak banyak mendatangkan masalah. Mereka hanya ingin terus menjalankan urusan mereka tetapi ada yang berjaya tidak sabar dan ingin kepada jalan yang lebih mudah untuk menjayakan cita-cita besar diri mereka dengan pelbagai aktiviti yang boleh mendatangkan mudarat dari segi perpaduan dan harmoni parti kita.
Hari ini, mereka sendiri tidak pernah menyumbang sesuatupun bagi membangunkan perjuangan UMNO. Tetapi hanya pandai mengumpat dan mencari kesalahan orang lain. Mereka menganggap mereka sahajalah manusia yang pandai, bersih dan berjaya dalam semua bidang. Sedangkan sebenarnya mereka baru dalam perjuangan parti, belum mencukupi berbakti, belum nampak lagi perkhidmatan mereka meluas samada di dalam parti atau masyarakat. Malangnya kedudukan pengaruh serta perkhidmatannya masih lagi boleh di persoalkan. Lebih-lebih lagi dikenalpasti tidak mempunyai sikap positif untuk bersama-sama mengikuti mainstream membangunkan UMNO Kota Raja. Maknanya pergerakan politik mereka masih lagi dalam percubaan (probation)
Parti kita tidak sunyi dari mereka ini. Sebagai ahli parti kita semua berhak, kita semua mempunyai tempat di dalam UMNO. Tetapi janganlah kerana inginkan tempat, berlari pantas kerana mempunyai cita-cita besar, kita sanggup membelakangkan bukan sahaja nilai-nilai etika murni parti kita, malahan diluar dari nilai maha pencipta kita sendiri.
Memandangkan kepada keadaan ini, maka adalah peluang terbuka untuk kita semua bersatu dari sekarang dan bersedia membawa perubahan dalam cara pemikiran, sikap dan haluan dengan menggabungkan tenaga lama, tenaga baru, tenaga muda untuk bersama-sama memimpin parti. Perpaduan tenaga adalah asas kekuatan kita. Perpaduan dalam menuju matlamat merupakan landasan haluan cita-cita kita.
Disamping itu, tugas setiap kita ialah menarik sebanyak ahli dari golongan muda melibatkan diri dalam parti. Golongan pemuda dan puteri hendaklah tampil kehadapan dan bersedia berkhidmat dan fikirkan bagaimana nilai-nilai baru dapat diterapkan di dalam perjuangan supaya organisasi pemuda dan puteri dapat di perkasakan bagi memantapkan perjuangan dan pertahankan UMNO Kota Raja di masa hadapan.
Harapan saya ialah semua pemimpin sama ada di peringkat bahagian, pemuda, wanita, puteri dan cawangan hendaklah bergerak seia sekata dan searah sehaluan. Dalam perkembangan sekarang kita tidak mampu bergerak berpuak-puak kerana itu bukan tradisi kita.
Justeru itu, kita akan merasa parti kita akan bergerak dengan satu nada dan satu haluan pembulatan parti dan perpaduan ahli adalah sentiasa menjadi tujuan dan teras kita. Semua pihak mestilah menjaga displin kerana tanpa displin yang tinggi kita tidak dapat mengawal diri untuk memberi sumbangan yang jujur terhadap parti dan negara. Saya yakin, kita semua akan terus meletakkan kepentingan displin ini di atas yang lain.
Saudara-saudari yang saya hormati sekelian,
Perjuangan UMNO Kota Raja masih di peringkat awalan. Dasar-dasar dan pendekatan kita melaksanakan keputusan yang lalu dengan kerjasama pihak kerajaan mengenai meningkatkan perancangan pendidikan untuk anak-anak ahli, membenteras gejala sosial, menubuhkan pelbagai jawatankuasa di peringkat parti dan membantu membina rumah PPRT dan seterusnya meningkatkan keahlian parti dan pengundi mempertahankan pembangunan mampan dan juga perjuangan yang ada kaitan mesra alam dan mesra rakyat.
Malangnya pada hari ini, segelintir ahli-ahli parti yang menjadi usahawan dan kontraktor tidak banyak berusaha dan justeru itu kemampuan mereka untuk menambah apa yang sudah dimiliki terbatas dan terhad. Adakah mereka tidak mempunyai rangkaian yang tidak cukup kuat atau adakah pengurusannya untuk menjayakan perniagaan adalah kecil yang tidak mampu bersaing dengan orang lain.
Hanya kerana seseorang itu ahli parti dan melayu dan diberi sokongan yang kuat tidak akan menjamin dia akan dapat apa yang dipohonnya. Sebaliknya jika ia seorang yang menunjukkan sifat baik, beramanah, cekap dan sering berjaya, maka peluangnya untuk mendapat apa yang dipohon adalah terbuka luas. Walaupun ada tuduhan di lempar bahawa ada kroni dan pilih kasih dari segi pembahagian kerja. Yang di pilih dan dikasihi ialah mereka yang bertanggungjawab boleh menjayakan matlamat dengan baik tanpa menyusahkan agensi-agensi awam yang ada kaitan dengan perniagaan mereka.
Alam perniagaan sama juga dengan alam politik. Kita hendaklah mampu bersaing. Jika diri sendiri lemah dan ia merupakan satu pengakuan, maka ia bukan satu keistimewaan tetapi adalah satu penghinaan terhadap bangsa dan negara.
Oleh itu, adalah diharapkan sikap dan pendekatan mereka perlu diubah. Saya mencadangkan supaya pengurusan perniagaan mereka hendaklah di pertingkatkan dan di pupuk dengan nilai-nilai yang mulia, amanah, berjimat, tekun, kuat kerja dtambah pula dengan kecekapan mengurus yang akan membawa kejayaan.
Saudara-saudari yang saya hormati
Sebagai usaha kearah memantapkan bahagian dengan perancangan-perancangan masa hadapan, maka adalah di cadangkan satu seminar mengenai kearah pembangunan Kota Raja yang lebih cemerlang dan seimbang akan dilaksanakan. Penumpuan pembangunan negeri terhadap pembangunan rumah, infrastruktur, perindustrian dan pertanian yang pesat juga telah membuahkan banyak manfaat kepada pergerakan ekonomi dan sosial di dalam bahagian kita.
Pendek kata bahagian Kota Raja merupakan antara nadi penting dalam pembangunan negeri. Bagi kita ahli-ahli UMNO, perlu bertanya bukan sekadar menjadi penonton sahaja, tetapi peranan kita hendaklah bersama-sama menyumbang kepada proses pembangunan yang akan dimampankan dengan nilai-nilai murni yang akan sentiasa menerima keredhaan Allah SWT. Dengan cara ini, kita sendiri merupakan sebahagian daripada jentera dan penggerak pembangunan yang aktif dan bukan pasif.
Dari segi wawasan bahagian, kita juga akan mengadakan satu bengkel untuk menyusun kerangka pelan tindakan politik yang membina kearah membawa bahagian Kota Raja ke tahap yang lebih cemerlang. Bengkel yang akan dilaksanakan tidak akan ketandusan kepakaran kerana saya yakin bahawa peserta bengkel yang akan terlibat akan membawa bersama mereka khazanah pengalaman dan ilmu yang boleh digarap secara kolektif untuk membincangkan mengenai parti, khususnya dan umat Melayu amnya dalam menjayakan aspirasi Selangor Negeri Maju pada tahun 2005 ini.
Kedua-dua program ini jika dapat dilaksanakan sudah pasti menjadi agenda parti kita lebih kuat dan lebih mantap lagi. Tidak dapat dinafikan bahagian Kota Raja tentu tidak ketandusan pemimpin dan pemipinnya bukan sahaja diiktiraf di peringkat negeri dan kebangsaan tetapi adalah menjadi sesuatu yang mengecewakan sekiranya kita tidak dapat mengcungkil pemimpin unggul untuk diketengahkan pada masa hadapan untuk menjadi pemimpin yang hebat bukan sahaja di kalangan ahli tetapi juga di mata masyarakat.
Saudara-saudari yang saya hormati sekelian
Hari ini saban hari kita disogokkan dengan berita-berita di dalam akhbar mengenai parti kita terutamanya perkara yang ada kaitan politik wang keahlian dan juga program di peringkat nasional. Pelbagai cara dan sistem akan diwujudkan oleh pihak parti di peringkat nasional untuk mencari mekanisme baru cara dan sistem supaya politik wang ini dapat di elakkan. Soalnya mengapakan politik wang boleh berlaku. Jawapannya ialah dahulu kita berbincang tentang kegagalan orang-orang Melayu dalam ekonomi dan hari ini kita bersidang kerana kejayaan kita di dalam semua bidang termasuk ekonomi yang telah membawa masalah. Masalah yang boleh menghancurkan kuasa politik Melayu yang telah kita bina.
Kita dapati ada sifat tamak dan tidak bertanggungjawab di kalangan sesetengah orang Melayu. Akibat daripada kekayaan yang mereka miliki maka mereka ini bukan sahaja mahu kaya tetapi juga jawatan dan kuasa bagi diri mereka. Kombinasi kemewahan wang ringgit orang-orang Melayu ini telah membentuk peribadi yang semakin merosot daripada segi moral.
Saya berharap bahagian kita hendaklah bebas amalan jenayah ini iaitu dari mengamalkan politik wang. Kita tidak mahu amalan ini nanti akan meresap secara tersembunyi dalam jiwa kita, dan di masa pemilihan kepimpinan parti secara langsung dan tidak langsung pembelian undi akan berlaku. Dengan itu kita tidak lagi memilih orang yang layak dan berkemampuan daripada segi kaliber memimpin parti. Kita memilih orang yang menyogok kita dengan wang atau hadiah atau lain-lain.
Percayalah orang-orang yang sanggup membeli undi tidak akan segan-segan menjual dirinya apabila ia berkuasa dan apa yang akan berlaku selepas itu tuan-tuan sedia maklum dan faham dan akhirnya tepuk dada tanya selera.
Kemungkinan kita semua dalam dewan ini akan menganggap ini cerita lama dulu lain sekarang lain. Tetapi yang sebenarnya tidak ada perbezaan. Pengorbanan adalah sepanjang masa dan selaku Ketua Bahagian adalah tanggungjawab saya memberi peringatan dan nasihat bahawa rasuah politik adalah buruk pada bila-bila masapun. Tidak ada zaman atau masa pengorbanan itu buruk dan rasuah itu baik.
Saudara-saudari yang saya hormati
Kita telah menggariskan beberapa dasar dan juga dasar negeri dan nasional yang perlu kita laksanakan untuk kepentingan orang-orang Melayu. Sebenarnya UMNO sahaja yang terdaya mempertahankan maruah bangsa dan negara kita. Kalau kita utamakan perpaduan dan disiplin sebabnya bukanlah ia kerana memudahkan kerja pemimpin bahagian, tetapi perpaduan dan displin sahajalah yang menjadikan parti kita berkesan dan dihormati masyarakat.
Perpaduan, displin dan kesetiaan kepada pemimpin dan parti adalah menentukan kemantapan parti kita. Kita menang pilihanraya menang kerana displin dan ketaatan. Taat setia bukanlah untuk mendapat tempat, taat setia adalah sifat kita ahli UMNO. Sifat yang kita junjung sepanjang hayat kita. Kerana taat setia, setiakawan inilah yang memberi kejayaan pada perjuangan kita. Oleh itu, marilah kita sama-sama memperkasakan displin, perpaduan dan kesetiaan dikalangan semua peringkat kepimpinan di dalam bahagian ini.
Akhir kata, marilah kita memberi akuan dan berikrar tidak membenarkan diri kita sendiri dipengaruhi atau mempengaruhi tindakan-tindakan negatif yang mungkin membawa kepada kurang harmoni di dalam organisasi kita. Oleh itu setiap kali kita bertindak, bertanyalah terlebih dahulu sama ada ia di dorong oleh fitrah akal atau nafsu. Hanya dengan bersikap ikhlas dan jujur dalam menjawab soalan ini barulah UMNO Bahagian Kota Raja terselamat, bahagia dan aman sentosa.
Sebelum saya mengakhiri ucapan saya ini, saya ingin memohon maaf kalau ada silap kata dari saya yang baik itu datang dari Allah SWT dan yang tidak baik itu datangnya dari saya sendiri.
Sekian, Wabilah hi tau fik wal hidayah wasala mualaikum wbth